Monday, 2 November 2020

Aku Seorang Editor..

Isnin 2.11.2020

Sudah lama aku biarkan blog ini. Bukan tiada idea nak menulis namun tidak ada masa yang sesuai. Alasan. Begitulah yang dinamakan manusia. Sering kufur nikmat masa yang diberikan Tuhan. Padahal setiap orang diberikan masa dengan adil dan saksama, 24 jam sehari. Tidak lebih tidak berkurang sesaatpun. Hanya aku yang tak pandai mengurusnya. Astagfirullahal azim..Insaf.

Pun begitu, hari ini aku terpanggil untuk menulis. Kisah apa?? Hmm.. cerita tentang aku. Kenapa ya?? Baiklah begini ceritanya. Tiga hari yang lalu aku telah diminta untuk mengedit sebuah novel remaja oleh seorang kenalan. Beliau seorang penulis muda yang baru berkecimpung dalam dunia penulisan. Walaupun baru setahun jagung, namun kesungguhannya telah melahirkan beberapa buah novel. 

Sepanjang kerjaya penulisannya, beliau banyak bertanyakan aku tentang ilmu tatabahasa, almaklumlah aku seorang guru bahasa Melayu. Ehem. Ehem.. Aku turut membantunya apa yang boleh. Aku sering membaca dan membuat ulasan buku-bukunya di media sosial untuk tatapan umum. Hal itu tidak menjadi masalah bagiku kerana aku memang suka membaca.

Entah mengapa kali ini, beliau meminta aku untuk mengedit novel terbarunya. Pada mulanya aku agak keberatan kerana aku tiada pengalaman mengedit buku sebelum ini. Namun beliau menaruh harapan dan aku tak sampai hati. Lalu lamarannya kuterima.. Beliau telah mengemel manuskrip kepada aku. Dua kali aku membacanya sambil mengedit dengan berhati-hati. Akhirnya selesai.Aku harap beliau berpuas hati.

Petang tadi, setelah kami berbincang tentang komen-komen yang dibuat, kukira tugasan ini sudah selesai sepenuhnya. Aku memberi semangat kepada beliau agar terus berkarya kerana bakat dan kesungguhannya mampu bersinar. Beliau mengucapkan terima kasih kepadaku dan berharap untuk bekerjasama pada masa hadapan. Insyaallah..jawabku ringkas.

Malam ini, suatu mesej masuk di telefon bimbit. Bayaran RM270.00 telah diterima daripada Si Penulis Muda. Alhamdulillah.. terima kasih Allah. Aku gembira bukan sahaja mendapat bayaran itu, tetapi yang lebih menggembirakan aku ialah aku telah berjaya mengedit sebuah buku. Menjadi seorang editor buku ialah suatu kemahiran baru dalam hidup ini dan aku kira itu ialah suatu kebanggaan. Sekali lagi..terima kasih ya Ilahi..❤❤❤


p/s Terima kasih juga kepada Si Penulis Muda kerana memberi aku peluang menjadi seorang editor. Insya-Allah, episod seterusnya aku akan kongsikan ulasan novel tersebut. Nak tahu apa isinya?Nantikan ya.. Adioss!

 


No comments:

Post a Comment